Model Falcon TST milik Ant International akan memberikan pelanggan Citi penyelesaian pengurusan risiko FX yang dipertingkat ketika mereka membuat jualan melalui saluran e-dagang.
Pelanggan perintis daripada sektor penerbangan bagi penyelesaian yang dibangunkan bersama ini telah pun mencatat penurunan kos dalam program lindung nilai Fixed FX Rates mereka untuk jualan tiket dalam talian.
Singapura – Citi dan Ant International hari ini mengumumkan pelaksanaan perintis penggunaan Model Falcon Time-Series Transformer (TST) Ant International untuk menyediakan penyelesaian pengurusan risiko FX yang lebih maju kepada pelanggan mereka.
Dibangunkan dengan klien industri penerbangan sebagai kes penggunaan awal, penyelesaian ini bertujuan memperkukuh keupayaan pembayaran bagi sektor penerbangan yang memproses berbilion transaksi setiap tahun. Dengan jangkaan pertumbuhan berterusan dalam perjalanan udara, penyelesaian ini menggabungkan pengalaman Ant International dalam pembayaran syarikat penerbangan serta penyelesaian FX kukuh Citi untuk membantu klien bank mengurus kos FX mereka dengan lebih cekap.
Model Falcon TST Ant International ialah model data besar berasaskan seni bina transformer dengan hampir 2 bilion parameter. Dengan mengintegrasikan algoritma peramalan siri masa terkini, model TST dapat meramal titik data masa hadapan dengan mempelajari corak kompleks daripada set data sejarah berskala besar menggunakan teknologi AI. Model ini membantu perniagaan meningkatkan kecekapan dan ketepatan dalam ramalan aliran tunai dan pendedahan FX mereka, sekaligus mengurangkan kos lindung nilai dan kos FX keseluruhan.
Dengan menggabungkan Model Falcon TST dengan penyelesaian Fixed FX Rates Citi — penyelesaian yang memenangi anugerah kerana memudahkan pengurusan risiko FX bagi perniagaan yang menjual dalam pelbagai mata wang secara dalam talian — penyelesaian gabungan ini membantu perniagaan mengurangkan risiko turun naik mata wang dengan menetapkan kadar FX untuk satu tempoh tertentu. Kadar FX dikunci dan dipersetujui lebih awal, sekali gus memberikan perniagaan kepastian lebih tinggi dalam penyediaan bajet, penetapan harga dan keuntungan. Penyelesaian Fixed FX Rates Citi menyokong lebih daripada 70 mata wang dan digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor termasuk Penerbangan, Pelancongan dan E-Dagang.
Dengan keupayaan peramalan dipacu AI Ant International, perniagaan boleh memanfaatkan penyelesaian dipertingkat Citi ini untuk meningkatkan ketepatan ramalan jualan serta pendedahan FX mereka. Ant International telah mencapai kadar ketepatan melebihi 90% dalam kes penggunaan dalaman syarikat dan menjangkakan penyelesaian ini dapat membantu industri penerbangan mengurangkan kos lindung nilai FX keseluruhan selari dengan peningkatan ketepatan ramalan.
Dengan menggabungkan Model Falcon TST Ant International dan penyelesaian Fixed FX Rates Citi, Citi telah berjaya menyelesaikan transaksi FX untuk salah satu syarikat penerbangan terkemuka di Asia, dan transaksi langsung awal tersebut telah mengurangkan kos lindung nilai FX syarikat penerbangan berkenaan.
Sam Hewson, Ketua Global FX Sales di Citi, berkata: “Kami sentiasa menambah baik produk dan penyelesaian kami untuk menyokong kes penggunaan baharu yang dibangunkan berdasarkan keutamaan pelanggan. Penyelesaian Fixed FX Rates Citi kini menyokong beberapa jenama E-Dagang dan Pelancongan terbesar di dunia, dan penyelesaian inovatif ini memperlihatkan bagaimana kami memanfaatkan keupayaan teknologi terbaik dalam ekosistem lebih luas untuk mempercepatkan pelaksanaan kes penggunaan baharu ke pasaran.”
Kelvin Li, Pengurus Besar Platform Tech di Ant International, berkata: “Kami amat berbesar hati kerana ini merupakan penyelesaian pertama yang disesuaikan mengikut industri, dibangunkan daripada Model Falcon TST bersama rakan bank untuk menyokong pelanggan mereka. Ini ialah satu pencapaian penting dalam perjalanan kami memanfaatkan AI untuk pengurusan FX bagi perniagaan, rakan kongsi dan juga pedagang. Penjimatan kos lindung nilai sebanyak 30% yang dicapai Ant International untuk syarikat penerbangan perintis membuktikan kecekapan kos yang boleh dicapai melalui lindung nilai FX dipacu AI. Kami teruja untuk memperluas penyelesaian ini bersama Citi bagi memberi manfaat kepada lebih banyak perniagaan dan industri.”
Tentang Citi
Citi ialah rakan perbankan utama bagi institusi yang mempunyai keperluan rentas sempadan, peneraju global dalam pengurusan kekayaan, dan bank peribadi pilihan di pasaran asalnya di Amerika Syarikat. Beroperasi di lebih 180 negara dan wilayah, Citi menyediakan pelbagai rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan kepada korporat, kerajaan, pelabur, institusi dan individu.
Maklumat lanjut boleh didapati di: www.citigroup.com |
X: @Citi | LinkedIn: www.linkedin.com/company/citi |
YouTube: www.youtube.com/citi |
Facebook: www.facebook.com/citi
Mengenai Ant International
Beribu pejabat di Singapura dengan operasi utama di Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Latin, Ant International ialah penyedia global terkemuka dalam pembayaran digital, pendigitalan dan teknologi kewangan. Melalui kerjasama merentas sektor awam dan swasta, platform techfin bersepadu kami menyokong institusi kewangan dan peniaga daripada pelbagai saiz untuk mencapai pertumbuhan inklusif melalui rangkaian penyelesaian pembayaran digital dan perkhidmatan kewangan berteknologi maju yang menyeluruh. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.ant-intl.com/