Ant Credit Engine bantu penyedia perkhidmatan kewangan membuat keputusan kredit dengan lebih pantas dan tepat pada skala besar
São Paulo – Melalui rangkaian penyelesaian teknologi kreditnya, Ant International kini membolehkan institusi kewangan dan syarikat fintech meluaskan akses kredit kepada lebih 15 juta pelanggan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di pasaran pesat membangun, menurut Quan Yu, Pengurus Besar Credit Services di Ant International. Ant International ialah peneraju global dalam pembayaran digital, pendigitalan dan teknologi kewangan.
Walaupun permintaan meningkat, jutaan PMKS dan individu masih kurang mendapat perkhidmatan disebabkan kekurangan cagaran, pendapatan tidak stabil atau ketiadaan sejarah kredit. Untuk memenuhi keperluan segmen ini dan mengembangkan perniagaan, penyedia perkhidmatan kewangan memerlukan penyelesaian teknologi kredit pintar yang memanfaatkan data alternatif dan dapat disepadukan secara lancar ke dalam sistem sedia ada mereka.
Ant Credit Engine, salah satu penyelesaian inovatif teras Ant International, ialah enjin kredit pintar dan automatik. Ia membantu institusi kewangan, fintech, dompet elektronik dan pemberi pinjaman bertauliah termasuk platform e-dagang, penghantaran dan e-hailing untuk membuat keputusan kredit dengan lebih cekap, tepat dan pantas. Yu berkongsi pandangan ini ketika berucap di FEBRABAN TECH 2025, salah satu acara inovasi kewangan terbesar di Amerika Latin.
“Keterangkuman kewangan bukan bermaksud mengurangkan standard risiko; ia bermaksud meningkatkan keupayaan membuat keputusan secara lebih bijak. Sama seperti mendayung di Sungai Amazon, mengemudi kerumitan kewangan memerlukan alat yang betul,” kata Yu. “Pendekatan berasaskan data alternatif yang disepadukan secara terbuka membolehkan integrasi lebih lancar, pemarkahan lebih pintar dan pelaksanaan yang cepat. Ini memudahkan rakan kongsi kami menawarkan perkhidmatan kredit terus pada platform mereka. Ini membantu pemberi pinjaman menyampaikan kredit kepada pelanggan, terutamanya PMKS, pada masa mereka memerlukannya dan dengan cara yang mampu mereka tanggung, sekali gus memacu pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan.”
Yu turut menjelaskan bahawa enjin ini dapat mempercepatkan konfigurasi dan pelaksanaan dasar kredit daripada beberapa minggu kepada beberapa minit. Persekitaran tanpa kod (code-free) membolehkan pemberi pinjaman membina dan melaras strategi dengan mudah melalui antara muka seret dan lepas, dilengkapi ujian strategi pantas dan amaran risiko masa nyata.
Enjin ini turut menawarkan perpustakaan templat menyeluruh merangkumi strategi penting seperti penilaian kelayakan kredit (underwriting), berasaskan peraturan keputusan, pemodelan data alternatif dan algoritma lanjutan yang dibangunkan melalui pengalaman Ant International dalam industri.
Dengan menggunakan pemodelan data alternatif serta algoritma seperti rangkaian heterogen dan rangkaian neural mendalam, pemberi pinjaman dapat menukar sejumlah besar data yang terpecah-pecah dan tidak lengkap kepada cerapan yang boleh terus digunakan. Pendekatan ini membolehkan mereka menilai kelayakan peminjam dengan lebih tepat dan efisien, melalui gambaran yang lebih menyeluruh tentang keadaan kewangan mereka.
Melengkapkan lagi keupayaan enjin kredit ini ialah bot strategi dipacu AI, yang boleh menjana dasar kredit tersuai dalam beberapa minit. Pemberi pinjaman boleh menentukan dan mengutamakan objektif perniagaan serta kekangan mereka seperti meningkatkan kadar kelayakan, mengurangkan risiko portfolio dan mengesan penipuan. Bot strategi dipacu AI ini kemudiannya akan mengimbangi semua faktor tersebut secara automatik untuk menjana strategi optimum yang disesuaikan, dengan menganalisis dan membandingkan pelbagai set strategi yang berbeza.
Kini, Ant Credit Engine diperkenalkan di Brazil. Dock, penyedia teknologi pembayaran dan perbankan terkemuka di negara itu, akan mengintegrasikan Ant Credit Engine ke dalam Dock One, platform menyeluruh yang membantu pelanggan mereka menskalakan perkhidmatan kewangan.
Ant Credit Engine akan tersedia dalam ekosistem Dock yang menghubungkan lebih 400 bank dan fintech di seluruh Amerika Latin. Kerjasama ini bertujuan membantu institusi tersebut meluaskan akses kredit kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dengan kecekapan operasi yang lebih baik dan kos lebih rendah.
Mengenai Ant International
Beribu pejabat di Singapura dengan operasi utama di Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Latin, Ant International ialah penyedia global terkemuka dalam pembayaran digital, pendigitalan dan teknologi kewangan. Melalui kerjasama merentas sektor awam dan swasta, platform techfin bersepadu kami menyokong institusi kewangan dan peniaga daripada pelbagai saiz untuk mencapai pertumbuhan inklusif melalui rangkaian penyelesaian pembayaran digital dan perkhidmatan kewangan berteknologi maju yang menyeluruh. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.ant-intl.com/.