| Melalui kerjasama ini, Ant International memperoleh hak pemasaran menyeluruh daripada Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) serta pemain bertaraf dunia Pasukan Kebangsaan Argentina bagi melaksanakan aktivasi strategik merentasi portfolio jenamanya, termasuk Alipay+, Antom, Bettr dan WorldFirst. |
BUENOS AIRES dan SINGAPURA – Ant International, penyedia global terkemuka dalam pembayaran, pendigitalan dan penyelesaian teknologi kewangan untuk pedagang serta institusi kewangan, hari ini mengumumkan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), sekali gus dilantik sebagai Penaja Rasmi Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Argentina bagi rantau Asia (tidak termasuk Timur Tengah).

Dengan lebih 30 pejabat di seluruh dunia, Ant International menyediakan penyelesaian pembayaran digital rentas sempadan, pengurusan perbendaharaan dan pendigitalan yang diperkasakan oleh AI serta teknologi rantaian blok untuk pedagang global dan institusi kewangan. Berteraskan kerjasama serantau yang meluas, perkhidmatan pembayaran digital dan akaunnya menghubungkan lebih 150 juta pedagang kepada lebih 1.8 bilion akaun pengguna di Asia Pasifik melalui integrasi lebih 300 kaedah pembayaran arus perdana dan alternatif.
Perjanjian ini menyatukan juara semasa Piala Dunia FIFA dengan salah satu penyedia teknologi kewangan paling inovatif di dunia. Melalui kerjasama ini, Ant International memperoleh hak pemasaran menyeluruh untuk melaksanakan aktivasi strategik merentasi portfolio jenamanya, termasuk Alipay+, Antom, Bettr dan WorldFirst, dengan memanfaatkan harta intelek AFA serta pemain bertaraf dunia Pasukan Kebangsaan Argentina.
“Kami amat berbangga dapat menyokong pasukan kebangsaan Argentina, simbol kecemerlangan, semangat berpasukan dan inspirasi global,” kata Peng Yang, Ketua Pegawai Eksekutif Ant International. “Sukan dan teknologi merupakan dua penghubung penting yang merapatkan komuniti dan pasaran, meruntuhkan sempadan serta menghubungkan manusia. Bersama-sama, kami akan membawa pengalaman bola sepak yang lebih luas dan diperkaya, serta impak komuniti melalui rangkaian fintech dan perkhidmatan digital kami di Asia.”
Dengan tiga kejuaraan Piala Dunia FIFA pada tahun 1978, 1986 dan 2022, serta enam kali mara ke perlawanan akhir dunia, Pasukan Kebangsaan Argentina menempati kedudukan istimewa dalam sejarah legenda sukan dunia. Sebagai pembawa semangat “Albiceleste”, pasukan ini dicirikan oleh warisan kecemerlangan lebih satu abad serta komitmen teguh dalam mengejar kejayaan.
“Bola sepak ialah bahasa sejagat yang paling utama. Ia menjadi jambatan kukuh yang merentasi sempadan dan menghubungkan seluruh dunia,” kata Claudio Fabian Tapia, Presiden AFA. “Melalui kerjasama ini, kami teruja untuk membawa hubungan ini kepada khalayak yang lebih luas di Asia.”
“Kerjasama ini merupakan komitmen ke arah kejayaan jangka panjang serta penyatuan strategik antara dua peneraju global,” kata Leandro Petersen, Ketua Pegawai Komersial dan Pemasaran AFA. “Dengan bergabung tenaga, kami menyasarkan untuk memperkukuh kehadiran di Asia dan mencapai tahap baharu dalam bidang sukan dan teknologi kewangan.”
Mengenai Ant International
Ant International ialah penyedia global terkemuka dalam pembayaran digital, pendigitalan dan teknologi kewangan. Melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta, platform techfin bersepadu kami menyokong institusi kewangan dan pedagang pelbagai saiz untuk mencapai pertumbuhan inklusif melalui rangkaian penyelesaian pembayaran digital dan perkhidmatan kewangan yang komprehensif serta berinovasi tinggi. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.ant-intl.com/